Wednesday, April 8, 2009

KUNJUNGAN KEHORMAT MAJLIS PENGAKAP NEGERI KEPADA TUAN YANG TERUTAMA YANG DIPERTUA NEGERI SABAH




Seramai 15 orang Ahli Majlis Pengakap Negeri Sabah dan Pesuruhjaya terkanan Pengakap Sabah telah berkunjung ke Istana Negeri untuk tujuan kunjungan kehormat kepada Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah bin Abdullah pada 7 April 2009.




Yang Di-Pertua Majlis Pengakap Negeri, Datuk Haji Yusoff Datuk Seri Panglima Hj. Mohd. Kassim dalam temuramah media sebelum keberangkatan tiba TYT Yang DiPertua Negeri disaksikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah, Datuk Awang Zaini Haji Suntim








Kunjungan yang dijadualkan pada jam 11.00 pagi ini antara lain bertujuan untuk menyampaikan hasrat Pengakap Sabah kepada pihak istana berkenaan permohonan untuk menganjurkan Hari Pengakap peringkat negeri 2009 dan juga istiadat penganugerahan Sijil dan Lencana Pengakap Raja kepada Pengakap Sabah bagi sesi 2006, 2007 dan 2008.






Dalam kunjungan ini, TYT Yang Di-Pertua Negeri yang juga merupakan Penaung Utama Pengakap Negeri Sabah telah memberi perkenan untuk majlis tersebut diadakan pada 4 Ogos 2009.








Dalam sesi dialog, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah memaklumkan bahawa JAMBORI SABAH KEDUA akan diadakan pada Bulan Disember tahun ini di Kota Kinabalu sementara Perkhemahan PRA-JAMBORI SABAH KEDUA akan diadakan pada 2 hingga 7 Jun 2009 bertempat di ODEC, Universiti Malaysia Sabah dan penyertaan akan dibuka kepada ahli Pengakap Remaja ke atas.





Pada 1 hingga 3 Mei 2009, Persidangan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah dan Mesyuarat Agung Majlis Pengakap Negeri Sabah akan diadakan di Kompleks Tabung Haji Sabah, Kota Kinabalu. Perlantikan Pesuruhjaya-pesuruhjaya baru dan pembaharuan tauliah perlantikan Pesuruhjaya sedia ada akan dilaksanakan semasa persidangan ini.


Logo lencana khas Kempen Sihat Minda




Dalam Persidangan ini juga, Pengakap Sabah akan mengadakan satu acara khusus pelancaran Kempen SIHAT MINDA dari siri KEMPEN 10 GAYA HIDUP SIHAT Kementerian Belia & Sukan Sabah serta Majlis Belia Sabah. Satu lencana khas SIHAT MINDA akan dikeluarkan dan boleh dipakai oleh para Pengakap sepanjang tahun ini.




Dalam acara yang sama, Yang DiPertua Majlis Pengakap Negeri Sabah, Datuk Haji Yusoff bin Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Kassim beserta Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri, Datuk Awang Zaini Haji Suntim turut menerangkan tentang perkembangan terkini dan aktiviti serta penglibatan Pengakap Sabah dalam kegiatan Kepengakapan di seluruh negeri dan juga bersama masyarakat setempat.





TYT Yang Di-Pertua Negeri juga turut memuji dan mengucapkan syabas kepada Pengakap Sabah di atas peningkatan dalam kualiti aktiviti serta peningkatan keahlian sepanjang tempoh pentadbiran Majlis Pengakap Negeri yang ada pada masa ini.




SCOUT CHOC, produk Pengakap Sabah dengan usahasama Borneo Cocoa Valley (diusahakan oleh Pesuruhjaya Pengakap Daerah Sibuga) yang akan dilancarkan pada 1 Mei 2009.


Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah menyampaikan cenderahati berbentuk

coklat keluaran Pengakap Sabah kepada TYT Yang Di-Pertua Negeri Sabah




Di penghujung acara, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri telah menyampaikan cenderahati kepada TYT Yang Di-Pertua Negeri berbentuk COKLAT khusus keluaran Pengakap Sabah yang dibuat sendiri di kilang milik salah seorang Pesuruhjaya Pengakap Daerah (Sibuga) dan berpusat di Sandakan. Buat masa ini, para Pengakap yang berminat untuk mendapatkannya boleh membuat tempahan melalui Ibupejabat Pengakap Negeri.





Ahli Majlis Pengakap Negeri Sabah (MPNS)

Dari kiri :

AHMAD HJ. ABD. MALEK (Bendahari Kehormat), DANIEL TAN JWEE PENG (Naib Yang Di-Pertua MPNS), DATUK HJ. YUSOFF BIN D.S.P. HJ. MOHD. KASSIM (Yang Di-Pertua MPNS), DATUK AWANG ZAINI HJ. SUNTIM (Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah), ZAHARI HJ. SUHAILI (EXCO MPNS), HAJI YAHAMAD BIN BUDIN (EXCO MPNS)


Tiada dalam gambar

NOURMAN RAYN DATUK AG. ZAINI (Setiausaha Eksekutif Pengakap Negeri), HJ. ABD. GHAFAR MADIN (EXCO MPNS)



Rombongan Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah yang hadir semasa Kunjungan Kehormat kepada


Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sabah 7 April 2009




Dari Kiri :

MOHD. ZAKARIA DULANG, JIBAH HJ. SUHAILI, MEJ. (B) BAHARUDIN BIN UJANG,

JOHN NG AH KIAN, PHILIP CHIN SAW VOON, AHMAD HJ. ABD. MALEK,

DANIEL TAN JWEE PENG, DATUK HJ. YUSOFF BIN D.S.P. HJ. MOHD. KASSIM,

DATUK AWANG ZAINI HJ. SUNTIM, DATUK OKK. HJ. MURSHIDI NAMBI,

ZAHARI HJ. SUHAILI, HJ. YAHAMAD BUDIN, NOURMAN RAYN DATUK AG. ZAINI,

MOHAMMAD BIN MAJID, MOHD SUHAIMI HJ. MOHAMED HUSAIN


Kunjungan berakhir sekitar jam 12.00 tengahari dan selepas sesi kunjungan, satu sesi fotografi berkumpulan dan individu telah diadakan khusus untuk barisan Ahli Majlis Pengakap Negeri terkini. Liputan berkenaan kunjungan hormat ini telah disiarkan melalui saluran Radio Malaysia pada petang hari yang sama manakala berita televisyen disiarkan pada 8.30 malam (8 April 2009) melalui Berita Perdana di TV1.

No comments:

Post a Comment