Sunday, April 26, 2009

PERHIMPUNAN RAKSAKSA 100 TAHUN PENGAKAP MALAYSIA


Sempena sambutan ulangtahun ke-100 Pergerakan Pengakap di Malaysia, satu Perhimpunan Raksaksa Sambutan 100 Tahun Persekutuan Pengakap Malaysia telah diadakan pada 25 April 2009 bertempat di Stadium Negara, Kuala Lumpur.


Perhimpunan yang telah dihadiri oleh lebih 10000 orang ahli Pengakap dari seluruh Malaysia ini telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin bin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Turut hadir di dalam perhimpunan ini adalah Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia dan Yang Berhormat Dato' Ahmad Shabery bin Cheek, Menteri Belia dan Sukan Malaysia.


Antara tetamu Jemputan antarabangsa yang turut hadir adalah Mr. Jejomar C. Binay (Pengerusi, Komiti Pengakap Asia Pasifik) Mr. Abdullah Rasheed (Pengarah, Pengakap Wilayah Asia Pasifik), duta-duta serta wakil Pengakap dari lebih 16 buah Negara dalam wilayah Asia Pasifik.
Barisan Pesuruhjaya dan Ahli Pengakap Negeri Sabah yang hadir ke Perhimpunan ini.

Para peserta daripada kalangan Pengakap Kelana Negeri Sabah bersama Setiausaha Eksekutif Pengakap Sabah

Dalam perhimpunan ini, Persekutuan Pengakap Malaysia Cawangan Sabah telah diwakili oleh 35 orang yang terdiri daripada 25 orang Pesuruhjaya serta Ahli Majlis, 8 orang Pengakap Kelana dan 2 orang Pengakap Remaja.


PENYAMPAIAN PINGAT DAN ANUGERAH



Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi telah menerima pengiktirafan dan Anugerah “Most Prestigious Scout Award” daripada Pertubuhan Pengakap Sedunia (WOSM) didalam perhimpunan yang gilang gemilang ini.



Barisan Ketua Pesuruhjaya Negeri dan Pesuruhjaya Negeri-negeri yang menerima Pingat 100 Tahun Pengakap Malaysia


Dalam perhimpunan ini juga, seramai 100 orang Pemimpin Pengakap berjasa daripada seluruh negara turut menerima Anugerah Pingat 100 Tahun Pengakap Malaysia yang telah disampaikan oleh Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah bin Haji Ahmad Badawi, Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia.

Seramai empat orang pemimpin Pengakap daripada negeri Sabah telah terpilih untuk menerima pingat semasa acara ini yang terdiri daripada :

Y. Bhg. Datuk Haji Yusoff bin Datuk Seri Panglima Hj. Mohd. Kassim
(Yang DiPertua, Majlis Pengakap Negeri Sabah)

Y. Bhg. Datuk Awang Zaini Haji Suntim
(Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah)

Y. Bhg. Encik Philip Chin Saw Voon
(Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah)

Y. Bhg. Datuk Haji Murshidi bin Nambi
(Penolong Pesuruhjaya Negeri-Pantai Barat Selatan)

Y.Bhg. Datuk Awang Zaini Hj. Suntim, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah menerima Pingat 100 Tahun Pengakap Malaysia daripada Yang Amat Berbahagia Tun Abdullah Ahmad Badawi, Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia

Antara acara dan tarikan yang disediakan semasa perhimpunan ini adalah Persembahan Kompang Formasi Pengakap Kanak-kanak, Kawad oleh Unit Pengakap Udara Negeri Johor, Pameran-pameran Sejarah Pengakap Malaysia, Unit-unit Pengakap, aktiviti dan juga jualan Kedai Pengakap.


"Saya merupakan satu-satunya Ketua Pesuruhjaya Negeri di Malaysia yang memegang Lesen Radio Amatur Kelas A". Agaknya itulah yang diterangkan oleh Y.Bhg. Datuk Awang Zaini Hj. Suntim (9M6MZ) kepada pengendali pameran radio amatur sambil diperhatikan oleh Pesuruhjaya Daerah Tawau, En. Mohd. Sayful Foo (9W6 MSY)

Semua peserta perhimpunan ini telah diberikan sijil Khas 100 tahun Pengakap Malaysia serta beg cenderamata.

1 comment:

  1. Really appreciate all the hard work done by the team !!!

    Thumbs up to all.............!

    Thanks
    Mohd Sayful Foo
    9W6MSY

    ReplyDelete